PADA 11 Mac depan, genap setahun Malaysia dijangkiti wabak Covid-19. Saya masih terbayang-bayang akan ketakutan semua pihak berhubung penularan wabak tersebut, sebelum ini.

Rekod rasmi menunjukkan Covid-19 mula dikesan di Wuhan, China pada 17 November 2019.

Ketika pojok ini ditulis, lebih 85.6 juta rakyat dunia telah dijangkiti wabak ini, dengan 122,845 daripadanya di Malaysia.

Ia telah menyebabkan kematian 1.8 juta penduduk dunia, termasuk 509 di Malaysia. Dalam masa setahun, kebetulan pada waktu Tahun Baharu Cina, wabak ini menyebar umpama proses pendebungaan yang dibawa oleh burung dan lebah.

Tanpa sempadan, segenap penjuru dunia dijangkiti, dengan mereka yang memiliki masalah respitori dan jantung, akan berhadapan risiko mati.

Isnin lalu, mata saya terpaku pada tulisan wartawan South Morning China Post, Zhuang Pinghui mengenai wabak ini.

Beliau yang bertugas di Beijing, berkunjung ke Wuhan, kota yang mencetuskan panik dan kegemparan paling besar dalam dunia moden.

Rupa-rupanya, Covid-19 atau koronavirus yang digeruni itu telah mengembalikan nilai keinsanan dalam diri setiap individu di kota itu.

Ia kota sibuk dengan manusia saling bersaing mencari rezeki, namun segala-galanya berubah apabila jarum kehidupan seolah-olah dihentikan, ketika lockdown.

Ketika mereka berperang dan bergelut dengan musuh yang halimunan, penduduk di sini menyisihkan politik, menolak ke tepi status dan ego.

Ketika inilah seluruh individu di kota itu menjadi satu, saling membantu.

Pinghui merakam kisah seorang pemandu teksi di Wuhan, Li Qiang yang berasakan kehidupannya terhenti secara tiba-tiba pada akhir Januari lalu.

Lockdown di seluruh bandar menyebabkan dia duduk merasai kekosongan di rumah, merenung masa yang berlalu tanpa pendapatan.

Teksinya terbiar. Li kemudian sedar bahawa dia masih boleh memandu kereta.

Bukan untuk menerima bayaran penumpang, sebaliknya, menggunakannya untuk membantu jiran-jirannya.

Menjadi pekerja di sebalik topeng, Li bertukar peranan sebagai sukarelawan yang membantu mendapatkan barangan runcit segar untuk lebih 600 isi rumah di kejiranannya.

Ketika dalam lockdown, semua yang terkurung bergantung kepada sayur-sayuran yang diperuntukkan kerajaan.

Li dan jiran-jirannya dan menganjurkan usaha ini.

Mereka berbahagi tanggungjawab, dengan beberapa yang lain mengambil pesanan melalui kumpulan WeChat dan melakukan urusan membeli-belah.

Kemudian menggunakan teksi Li untuk menghantar barangan runcit ke ruang terbuka dan ia disusun untuk penghantaran atau pengumpulan.

Usaha individu seperti Li ini penting dan bukan remeh. Lebih 11 juta warga Wuhan kemudian terselamat dan berjaya mengharungi lockdown 76 hari.

Tentunya besar jasa hero seperti Li yang membantu mereka menjalani hari-hari awal penutupan bandar yang huru-hara dan paling ketat di dunia.

Biarpun sukarelawan-sukarelawan ini hanya berhubung melalui kumpulan WeChat, tetapi mereka berisiko tinggi untuk terdedah kepada virus ini ketika mengedarkan barangan runcit, mengangkut pekerja kesihatan, menjaga kejiranan dan membekalkan barangan perubatan yang amat diperlukan pada permulaan wabak.

Seramai 22 orang dari Hubei kemudian menerima anugerah daripada Kerajaan Pusat untuk kerja kesukarelawan mereka – tetapi kebanyakan ‘hero lain’ tidak bernama, dan mereka gembira dengan itu.

“Saya melakukan apa yang saya boleh untuk jiran-jiran saya.

Ia satu perkara yang sangat kecil. Saya tiada apa-apa berbanding mereka (sukarelawan lain) yang mendedahkan diri kepada risiko yang lebih tinggi mengangkut pekerja kesihatan,” kata Li.

Blogger video Lin Wenhua, 38, turut berhadapan desakan yang kuat untuk melakukan sesuatu untuk bandarnya apabila mendapat tahu ramai yang turun membantu menjayakan lockdown.

Ingkar akan larangan ibu bapanya, beliau menghabiskan hari-hari awal wabak ini dengan memandu pekerja kesihatan dan menyampaikan Kaletra – rawatan HIV/Aids yang telah disenaraikan untuk digunakan terhadap pesakit Covid-19 – mereka ini dinafikan penjagaan hospital kerana kekurangan katil.

“Saya juga memakai sut pelindung tetapi dengan cara yang sangat amatur.

Saya sedar bahawa saya akan bersentuhan dengan pesakit tetapi tidak apa.

Saya lebih takut akan risiko kesan sampingan daripada ubat yang diedarkan oleh saya,” kata Lin.

Apabila syarikat teksi tempatan dan firma besar seperti Didi terlibat dalam mengangkut doktor dan bekalan perubatan, Lin beralih kepada bakat penghasilan videonya supaya dia dapat terus membantu Wuhan.

Dia bercerita secara sepintas lalu kehidupan sewaktu lockdown.

Video beliau memenangi penghargaan di platform microblogging Weibo, dengan pengikutnya melonjak daripada 3,000 hingga lebih 5 juta orang dalam masa tiga bulan.

Ramai yang mengulas bahawa karyanya memotivasikan mereka untuk menghadapi hari-hari yang sukar itu.

Visualnya merakamkan seorang pesara doktor yang secara sukarela berada di barisan hadapan; seorang lelaki warga emas menolak isterinya di kerusi roda sejauh 30 km untuk pulang ke rumahnya; dan pembasmian kuman stesen kereta api.

“Orang ramai memerlukan lebih banyak maklumat.

Video itu menyediakan platform untuk orang ramai melepaskan emosi mereka,” kata Lin.

Peng Sen, usahawan berusia 48 tahun pula, menyelaras dan mengedarkan barangan perubatan untuk hospital semasa dan selepas lockdown.

Beliau berkata, beratus-ratus ribu rakyat Wuhan terlibat dalam beberapa jenis kerja sukarela – ada yang dianjurkan oleh majikan atau pihak berkuasa tempatan.

Namun yang paling menarik, semuanya hadir kerana inisiatif mereka sendiri.

“Sangat sukar untuk duduk dan melihat bandar yang tempat anda membesar mengalami krisis seperti ini dan anda tidak melakukan apaapa,” kata Peng.

“Saya bertindak membantu pekerja kesihatan dalam menjadikan bandar ini kembali normal.

Kami benar-benar membantu diri kita sendiri.”

Wuhan kini semakin pulih dan ia pulih dengan cepat, kesan disiplin dan manusia berjiwa murni seperti ini.

Wabak ini benar-benar telah menukar banyak manusia, dan melontar jauh sikap pentingkan diri sendiri.

Di Sarawak, kita tidak kurang insan berhati mulia seperti ini.

Setahun yang berlalu telah melahirkan ramai individu yang benar-benar berjiwa rakyat dan tidak pentingkan diri.

Dua minggu lalu, saya berhubung dengan seorang rakan; seorang sukarelawan yang pernah mendapat kurniaan Tokoh Belia Negeri Sarawak.

Rupa-rupanya sepanjang Covid-19 melanda negara, beliau yang sudah berkeluarga tidak lagi bertugas sebagai pekerja sukarela.

Beliau tidak dibayar gaji untuk lebih lapan bulan, dan organisasi tempat beliau menabur keringat ditutup.

Beliau kini mengambil apa sahaja upah atas khidmat yang ditawarkan, sambil pada masa yang sama berusaha menjalankan perniagaan atas talian demi sesuap nasi.

Pendapatannya, hanya RM500 sebulan, dan beliau teramat bersyukur.

Menariknya, beliau tidak pernah menzahirkan kesukaran hidupnya, sebaliknya bersama-sama beberapa rakan yang lain, berusaha untuk membantu insan yang lebih susah dan daif.

“Di sekitar rumahku, masih ada hutan untuk dicarikan sayur, masih ada sungai untuk memancing ikan.

InsyaAllah, segala-galanya cukup,” katanya merendah diri.

Daripada tulisan Pinghui dan juga pengalaman rakan tadi, rupa-rupanya lebih banyak perkara yang menyebabkan kita berasa bahagia di dunia ini, ketika berhadapan dengan Covid-19.

Tidak perlu kita saratkan pemikiran kita dengan memburu duit tanpa hati, atau bergasak, bertelingkah dan berkonflik tanpa henti.

Di luar sana masih ramai yang memerlukan sentuhan dan bantuan kita, untuk sesuap nasi .

Itu politik kehidupan pasca-Covid-19 sebenarnya.