KUCHING: Maritim Sarawak telah menahan 71 vesel atas pelbagai kesalahan, hasil pemeriksaan ke atas 15,450 vesel dalam tempoh tahun lepas.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata antaranya menerusi Op Naga Timur yang bertujuan memerangi pencerobohan nelayan asing di Laut China Selatan.

“Sebanyak 11 bot nelayan asing serta 97 kru (sebuah vesel dari Indonesia dengan lima kru termasuk tekong dan yang selebihnya adalah nelayan daripada Vietnam) telah ditahan dengan jumlah rampasan bernilai RM10 juta setakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Penguat Kuasa Maritim Sarawak dan Majlis Perpindahan KM Semilang di Jeti Komtas di sini, hari ini.

Manakala menerusi Op Kuda Laut bagi memerangi bot nelayan dari Vietnam di Laut China Selatan termasuk perairan Sarawak dan Sabah, beliau berkata sebanyak 11 tangkapan telah direkodkan dan 21 pengusiran bot telah dibuat.

Zin Azman menambah Maritim Sarawak turut terlibat sepenuhnya dalam pengoperasian Op Benteng bagi mengawal dan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui perairan namun tiada tangkapan dibuat kerana sebahagian besar kemasukan Pati berlaku di sempadan darat Sarawak – Kalimantan.

Pada masa sama, beliau berkata Maritim Sarawak juga bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya bagi memantau Beting Patinggi Ali secara giliran atau berjadual.

Sementara bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR), Zin Azman berkata sebanyak 20 kejadian telah direkodkan pada tahun lepas melibatkan 225 orang mangsa (210 orang berjaya diselamatkan, 12 orang ditemui mati dan tiga orang masih belum ditemui).

“Kejadian MV Dayang Topaz pada Oktober lalu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu seramai 187 orang dengan dua daripada mati.