BAHAGIAN Mukah bakal memiliki padang bola sepak tiruan (sintetik) setelah permohonan Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA) dipersetujui oleh Adun Tellian, Yussibnosh Balo baru-baru ini.

Presiden MuFA Ajahar Bakar menjelaskan, hasil pertemuan dengan Yussibnosh amat positif.

“Beliau bersetuju dan berjanji untuk membantu merealisasikan impian warga Mukah untuk memiliki padang sintetik.

“Beliau telah memilih salah satu tempat daripada lima venue yang dicadangkan dalam kertas kerja,” kata Ajahar.

“Untuk permulaan mereka akan meneliti status tapak sebelum melakukan proses-proses seterusnya,” ujarnya.

Di samping itu, MuFA juga akan menghantar pasukan untuk menyertai Kejohanan Bawah 25 Tahun SSC yang akan berlangsung di Bahagian Miri, sekitar Januari ini.

Di peringkat tempatan pula, MuFA akan menganjurkan Kejohanan Piala Veteran 2021 Januari ini, dan kemudiannya Piala Dun Tellian.