KUALA LUMPUR: Dua belas unit dron yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) Disember lepas, akan digunakan untuk operasi menjejak dan mengesan penyeludupan di sempadan negara, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar.

Abdul Rahim berkata dron sumbangan British American Tobacco (BAT) itu, akan membantu melancarkan lagi penugasan dan pemantauan polis dari udara, dalam mengekang kegiatan penyeludupan.

Beliau berkata kesemua dron yang kini ditempatkan di Pasukan Gerakan Udara, Subang adalah berteknologi tinggi dan berkeupayaan beroperasi tanpa bunyi yang bising, serta mampu diterbangkan sehingga ketinggian 800 meter.

“Bila sahaja ada operasi, kami akan gunakan dron-dron itu. Misalnya di Kelantan, kami gunakan teknologi ini untuk bantu, kalau tiada (dron) maka susahlah kita.

“Dron ini diibaratkan sebagai ‘helicopter view’ yang menampakkan pandangan dari atas. Memang cantik sebab kita dapat lihat pelbagai sudut seperti gambar-gambar penyeludup, apa yang ada dalam kenderaan mereka dan apa kegiatan yang sedang dilakukan,” katanya.