KUCHING: Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditempatkan di semua 12 pangkalan feri di seluruh Sarawak mempunyai kuasa memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi pengusaha feri termasuk pengguna.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peraturan baharu yang ditetapkan Kerajaan Sarawak membolehkan pegawai JKR yang ditempatkan mempunyai kuasa penuh untuk menguatkuasakannya.

“Pegawai itu juga mesti mempunyai hak untuk menghalang atau membenarkan kenderaan memasuki dan menggunakan perkhidmatan feri.

“Selain itu, feri tidak boleh meninggalkan tanjakan selagi ada kenderaan di lereng tanjakan yang menuju ke feri. “Secara amnya selagi ada kenderaan yang dilihat menghadapi masalah di tanjakan, feri tidak boleh meninggalkannya dan harus menghulurkan bantuan jika diperlukan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Beliau pada masa sama memuji tindakan JKR memperkenalkan seorang pegawainya untuk ditempatkan di setiap pangkalan feri di seluruh negeri ini bagi memantau operasi harian perkhidmatan berkenaan.

SOP itu juga diperketatkan dengan hanya membenarkan pemandu sahaja berada di dalam kenderaan manakala penumpang diwajibkan keluar dari kenderaan dan duduk di tempat khas yang disediakan.

Termasuk meletakkan tanda berwaspada ketika memasuki zon operasi feri, penghadang besi di laluan masuk ke feri serta pengumuman keselamatan dari semasa ke semasa.

Selain itu, setiap penumpang feri akan disediakan jaket keselamatan dan diwajibkan memakai jaket tersebut sepanjang berada di dalam feri.

Terdahulu, SOP baharu tersebut diumumkan Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur negeri Datuk Julaihi Narawi pada hari Isnin berikutan kejadian kenderaan pacuan empat roda terhumban ke Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, Jumaat lepas.

JKR akan menjalankan pemeriksaan di setiap pangkalan feri agar setiap operator feri mematuhi SOP baharu itu memandangkan ramai pengguna jalan raya menggunakan jalan pesisir sebagai laluan alternatif selain jalan Pan Borneo.

Tragedi itu mengorbankan Lorna Ting, 33; Alvin Phang, 12; Wallace Phang, 7; Siti Aishah Abdullah, 36; Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16; Khairunnisa Mohamad Hamzah, 14; Mohd Aiman Mohamad Hamzah, 7; Muhd Mustaqim Mohamad Hamzah, 5; dan Mohd Ahmad Mohamad Hamzah, empat bulan. Pada masa ini, terdapat 12 pangkalan feri di seluruh Sarawak dengan tujuh daripadanya beroperasi di laluan jalan pesisir Sarawak manakala selebihnya di kawasan lain.