KUCHING: Pembukaan sekolah bagi sesi 2021 wajar ditunda sekiranya kes positif Covid-19 terus menular dan masih tinggi, kata Naib Presiden 1 Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Kebangsaan, Omar Immun.

Katanya, ia memandangkan trend kes positif Covid-19 sekarang terus mencatat statistik empat angka, sedangkan musim persekolahan sesi 2021 semakin dekat.

Sehubungan itu beliau berkata, rungutan ibu bapa dan penjaga harus diambil kira memandangkan kekhuatiran mereka sekiranya anak dijangkiti wabak berkenaan.

“Kita tidak boleh menolak kekhuatiran ibu bapa dan penjaga ini kerana melibatkan banyak sentimen lain.

Ini pasti menimbulkan panik dan rasa gelisah sebahagian besar keluarga bukan setakat di Sarawak, bahkan di seluruh negara juga dunia,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak semalam.

Justeru Omar merangkap Yang DiPertua Mapim Sarawak berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu membuat penerangan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai situasi Covid-19 mengikut keadaan setempat kerana taburan kes di kebanyakan tempat tidak sama.

Menurutnya, ada sebahagian kes positif tinggi yang berlaku dalam komuniti setempat di kawasan terhad seperti di dalam penjara dan kampung atau taman, tapi ada juga kes positif tinggi yang berlaku dalam komuniti yang berselerak dan yang lebih berbahaya apabila ada yang tanpa gejala.

“Oleh demikian, sesi penerangan amat diperlukan supaya ibu bapa dan penjaga lebih berhati-hati dan berwaspada membuat keputusan atau bertindak mengikut keputusan yang dibuat KPM,” katanya.

Omar menambah, Mapim Sarawak juga mengesyorkan media massa memainkan peranan lebih proaktif membantu menyalurkan informasi penting seperti pembukaan semula sekolah bagi sesi 2021 kerana masih terdapat ibu bapa dan penjaga yang tidak menerima maklumat jelas mengenainya.