KOTA SAMARAHAN: Siput sedut dan siput kerikap yang dikutip di kawasan sungai di sekitar Asajaya kini dijual pada harga RM16 sekilogram di gerai makanan laut di sini.

Antara menjual dua jenis siput sungai terbabit ialah Siti Nur Ain, 21 di gerai D-Tamu di kawasan D-Virtual Park dengan gerainya memperoleh bekalan kedua siput sungai terbabit dari Kampung Semera di Asajaya.

“Siput sedut dan siput kerikap dijual pada harga RM16 sekilogram.

Pelanggan boleh membeli siput ini dalam bungkusan plastik pada harga RM5 sebungkus di gerai ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Siti berkata, ketika ini keadaan laut bergelombang menyebabkan ramai penduduk kampung terbabit tidak dapat turun menangkap ikan di laut.

Jadi sebahagiannya akan keluar mencari siput di kawasan sungai bagi menambah pendapatan.

“Tetapi ia tidak menentu, kerana bergantung kepada keadaan pasang surut air sungai.

Biasanya bekalan siput ini akan banyak jika air sungai pasang besar,” katanya.

Siti berkata, kebiasaanya gerai makanan lautnya mampu menjual sehingga 20 kilogram sehari untuk dua jenis siput terbabit.

Malah ada pemborong membeli siput untuk dijual di restoran mereka.

Menurutnya, siput itu tidak boleh disimpan di dalam peti ais kerana boleh menyebabkannya cepat mati.

“Tetapi ia bertahan lama malah sampai seminggu sekiranya disimpan dalam bungkusan plastik,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan membeli siput dimasak kicap dan masak lemak dan mendedahkan bahagian hujung cengkerang siput sedut serta siput panjang akan dipotong bagi memudahkan isinya disedut untuk dimakan.

Manakala bagi siput kerikap pula, isinya perlu dicungkil dari cengkerang sebelum dimakan.

dav