KUCHING: Tentera darat telah mengusir seramai 34 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indoneska dalam tempoh seminggu ini.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata sektor Serikin mencatatkan empat kes pengusiran Pati melibatkan 23 orang.

“Kes terbesar adalah pada 3 Januari, sekitar jam 5.20 petang di sekatan jalan raya Pos Serikin yang melibatkan 15 orang Pati terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, lima wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala di Sektor Lubok Antu mencatatkan dua kes pengusiran melibatkan sembilan Pati dan satu kes di Kandaie melibatkan dua Pati.

“Pelbagai alasan dan taktik digunakan mereka untuk menyelinap masuk ke Malaysia berkemungkinan atas desakan hidup impak daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu menambah selain kes pengusiran Pati, anggota-anggota tentera yang bertugas diperbatasan juga berjaya menghindar cubaan menyeludup keluar barangan makanan ke Indonesia di Tebedu dan Lubok Antu dengan anggaran nilai rampasan RM4,192.