SADONG JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menggesa masyarakat di sini untuk terus memberikan sokongan kepada Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo bagi mempertahankan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) kelak.

Menurutnya, Aidel merupakan seorang yang cekap, berintegriti, bersih dan memberikan prestasi yang cemerlang semenjak dipilih sebagai wakil rakyat di sini pada tahun 2011 yang lalu.

Malah katanya, disebabkan itu juga Aidel telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Sarawak.

“Pihak saya tidak teragak-agak untuk datang ke kawasan Sadong Jaya ini, kerana ia ‘putih bersih’ jadi kita mahu beliau (Aidel) dipilih sekali lagi untuk menjadi calon di sini.

“Dan saya juga mahu melihat Yang Berhormat (YB) anda ini mengangkat sumpah sekali lagi dalam DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Penyampaian Sumbangan Masjid dan Surau Bagi Kawasan N.24 Sadong Jaya di Masjid Darul Iman di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tambah Asfia kawasan Sadong Jaya juga merupakan kubu dan benteng kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semenjak Sarawak mencapai kemerdekaan pada tahun 1963.

“Saya berharap agar penduduk di Sadong Jaya dapat memberikan kemenangan yang besar kepada GPS dalam PRN-12 kelak.

“Prestasi Aidel di kawasan DUN Sadong Jaya ini adalah ‘A Plus’, disebabkan itu juga kita meminta agar beliau berdiri semula di sini untuk penggal seterusnya nanti,” jelasnya.

Ekoran daripada itu, beliau menegaskan masyarakat tidak perlu mempersoalkan sama ada GPS atau PBB menang atau tidak.

“Apa yang perlu dipersoalkan adalah pihak lawan hilang ‘wang cengkeram’ (wang deposit) atau tidak,” tegasnya.

Beliau juga mendedahkan bahawa tempoh DUN Sarawak akan tamat pada 6 Jun 2021 nanti.