KUCHING: Penilaian sistem mitigasi yang kukuh amat penting untuk persediaan awal terhadap bencana alam bukan sahaja kejadian banjir malah gempa bumi, kata Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Makenikal Unimas, Dr Lidyana Roslan.

Beliau yang mengalami sendiri kejadian gempa bumi di Fukushima, Jepun pada tahun 2011 ketika masih belajar di negara itu memberitahu, sejarah membuktikan bencana alam berkenaan turut terjadi di Kapit pada tahun 2007 dengan 4.25 skala Ritcher.

“Ekoran kejadian gempa bumi di Ranau,Sabah pada tahun 2015 dengan 6.0 skala Ritcher, saya mula berminat dengan kejadian alam di Kepulauan Borneo dan dipelawa menyertai pasukan penyelidikan penilaian ancaman dan risiko selepas balik dari Jepun pada 2017.

“Daripada ulasan kajian terdahulu mengenai kejadian terbabit, saya berpendapat bahawa gempa bumi 5.3 Ritcher di Kapit 27 tahun lepas mungkin tercetus akibat lingkaran RajangCrocker di bawah kawasan Miri ke Ranau ,” kata pakar simulasi 3D ini kepada Suara Sarawak semalam.

Memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Institut Teknologi Kejuruteraan Pembuatan di Institut Teknologi Kejuruteraan Kitami, Lidyana menambah, kejadian gempa bumi dikira dalam bentuk lingkaran yang mungkin mengambil masa 50 atau 100 tahun berlaku semula.

“Di Kapit, kita mempunyai projek mega seperti empangan hidroelektrik namun saya percaya ia dibina mengikut standard yang tinggi serta kukuh.

“Bagaimanapun, apabila kita melihat kepada kawasan di sekelilingnya pula, ia memerlukan sistem mitagasi agar ia terlindung daripada perubahan struktur seismik,” jelasnya.

Dr Lidyana juga pemegang PhD Kejuruteraan Pembuatan ini berkata, kita boleh belajar dari Jepun yang mempunyai gempa bumi mega apabila mencecah 9.0 skala Ritcher sekiranya kemungkinan berlaku insiden terbabit di Sarawak.

“Di Jepun, setiap lapisan masyarakat diajar untuk mematuhi SOP apabila berlakunya bencana alam,” katanya yang kagum dengan sikap bertenang rakyat Jepun ketika waktu genting.

Lidyana memberitahu, beg sekolah kanak-kanak Jepun amat keras apabila boleh dijadikan sebagai pelindung atau pelampung apabila bencana alam berlaku.

Terdahulu, Malaysia merekodkan satu gempa bumi dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira-kira 16 kilometer di barat daya Ranau pada tahun 2011.

Gempa yang dikesan pada kedalaman 54 kilometer di bawah tanah itu dirasai di sekitar Ranau, Tambunan, kawasan pedalaman dan pantai barat termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud.