KUALA LUMPUR: Angka jangkitan baharu COVID-19 berisiko mencecah hingga 8,000 kes sehari menjelang minggu ketiga Mac ini sekiranya nilai kebolehjangkitan semasa atau RO berada pada kadar 1.2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jangkaan unjuran kes dari 4 Januari sehingga 31 Mei itu berdasarkan nilai kebolehjangkitan semasa atau RO di negara ini sekiranya ia berada pada kadar 1.1 atau 1.2.

“Berdasarkan graf Kementerian Kesihatan (KKM), jika RO berada pada kadar 1.2, kes harian COVID-19 akan mencecah 3,000 kes pada minggu keempat Januari ini.

“Jika RO pada kadar 1.1, peningkatan kes akan sedikit perlahan, iaitu dijangkakan 3,000 kes setiap hari dijangka bermula pada minggu kedua Februari,” katanya dalam satu ciapan menerusi Twitter rasminya, sebentar tadi.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut menjangkakan jangkitan baharu COVID-19 akan melonjak dengan cepat iaitu kepada 5,000 kes harian pada minggu ketiga Februari ini sekiranya RO berada pada kadar 1.2.

Beliau berkata, gelombang kes COVID-19 di negara ini akan bertambah buruk pada Mac nanti dan sukar dikawal jika RO di tahap 1.2.

Bagaimanapun, jika RO dicatatkan pada kadar 1.1, risiko kes COVID-19 mencecah 8,000 kes dapat diperlahankan sehingga Mei depan.