SIBU: Masyarakat Sibu yang bekerja atau belajar di luar Sarawak khususnya yang meraikan Tahun Baharu Cina disarankan supaya tidak balik ke kampung halaman.

Pengerusi Persatuan Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Cina Bahagian Sibu Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, langkah itu membantu kerajaan membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Saya merayu khasnya kepada masyarakat Cina agar tidak pulang ke Sibu pada sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan pada 12 Februari depan.

“Tahan sekejap kerinduan anda kepada keluarga. Ini usaha terbaik kita melindungi keluarga dan diharap masyarakat berada di luar Sarawak faham,” katanya kepada Suara Sarawak.

Lau berkata, pandangan ini harus diberikan perhatian serius memandangkan jangkitan Covid-19 semakin meningkat setelah perjalanan antara negeri dan daerah dibenarkan.

“Sambutan Tahun Baharu Cina hampir tiba. Saya memohon kepada semua orang terutama masyarakat Cina untuk supaya sentiasa berwaspada dan kekal selamat,” tegasnya.