KUCHING: Orang ramai yang melakukan pendaftaran kemasukan ke sesebuah premis secara manual menggunakan buku rekod adalah wajib untuk mengisikan nama, nombor telefon dan masa memasuki premis.

Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

“Selain itu, operator premis hendaklah memastikan terdapat pekerja yang memantau pelanggan semasa pendaftaran dan saringan suhu.

“Pelanggan yang mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah selsius adalah tidak dibenarkan memasuki premis,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tersebut boleh dikenakan tindakan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau Qmunity kerana ia membantu memudahkan aktiviti pengesanan kontak rapat kes jangkitan Covid-19.