KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah melancarkan operasi pengesanan kes Covid-19 secara aktif di dua rumah panjang di Sri Aman.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia berikutan terdapat kes positif dilaporkan dari rumah panjang Sungai Putong, Ulu Undop.

“Selain daripada itu, operasi turut dijalankan di Rumah Bui Panjai, Lubok Antu dan mengambil masa paling kurang 14 hari.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman telah melakukan operasi tersebut dengan menghantar agensi penguatkuasa untuk berkawal di rumah panjang tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, usaha itu adalah untuk memastikan penduduk tidak bergerak keluar dan orang luar tidak masuk ke rumah panjang berkenaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah mengambil tindakan segera untuk menghantar bekalan makanan ke dua rumah panjang berkenaan untuk kegunaan penduduk terbabit.

“Sementara Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman juga telah mengambil tindakan segera berhubung melakukan saringan serta pengesanan kontak,” jelasnya.