KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menggagalkan beberapa kegiatan penyeludupan termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi empat operasi berasingan yang dijalankan dalam tempoh dua hari, pada Selasa dan semalam.

Komander PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata kejayaan pertama dibuat dalam Op Benteng pada Selasa, apabila sepasukan Batalion 11 PGA Batu Kawa menjumpai pelbagai jenis barangan keperluan harian semasa menjalankan rondaan di kawasan Gua Ming, Sri Aman sekitar jam 10 pagi.

Katanya kesemua barangan keperluan harian itu disyaki cuba diseludup ke Indonesia melalui jalan tikus di kawasan sempadan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan telah menemui satu tong  LPG, empat unit racun rumpai, 18 karton rokok kretek, 240 bungkusan tembakau, 15 paket minyak masak, 50 tin sardin, 12 paket biskut, 150 bungkusan keropok ayam, 150 bungkusan keropok sotong, sebuah beg tiada jenama dan tiga bakul Engkalang.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat dan anggaran jumlah rampasan adalah bernilai RM 4,654,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, serta diserahkan kepada Balai Polis Pantu untuk tindakan selanjutnya.

Manakala, Mancha berkata tangkapan kedua melibatkan 5,000 karton rokok putih pelbagai jenis, 1,610 kotak bir tin dan 87 kotak bir botol, hasil serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan Unit Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA ke atas tiga buah lori di bengkel Sarcon Enterprise Batu 13, Jalan Kuching-Serian pada lebih kurang jam 1 pagi semalam.

“Turut ditahan lima lelaki tempatan dan tiga kenderaan lori Bonded dan Longbase,” katanya sambil menambah anggaran rampasan adalah bernilai RM1.34 juta.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.

Bagi kejayaan ketiga, Mancha berkata Batalion 11 PGA Batu Kawa telah menahan dan mengusir seorang lelaki dan wanita warga Indonesia yang cuba masuk ke negeri ini melalui jalan tikus di kawasan sempadan Mapu Kijabu, Serian sekitar jam 8.30 pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua warga Indonesia itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Ketua serbuan telah mengarahkan kedua-dua mereka berpatah balik ke Indonesia menggunakan laluan yang sama,” katanya.

Sementara, beliau berkata kejayaan keempat adalah rampasan sejumlah 2,073,600 batang rokok Kretek yang dibuat dalam Op Libas oleh pasukan Unit Risik Batalion 12 PGA Miri hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di sublot 1189 King’s Park Miri, Jalan Bintulu-Miri sekitar jam 5.45 petang semalam.

Katanya rumah berkenaan disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok-rokok seludup itu, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.

Mancha berkata kesemua rampasan dibuat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada  IPD Miri untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Mancha, sepanjang pengoperasian Op Benteng Covid-19 bermula 1 Januari ini, Briged Sarawak PGA telah mencatatkan kejayaan bernilai RM 4,654 dengan merekodkan sebanyak dua kesyang melibatkan jumlah tangkapan seramai dua orang Pati.

Manakala bagi Op Libas, Briged Sarawak PGA telah mencatatkan kejayaan bernilai lebih RM3 juta dengan merekodkan sebanyak dua kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai lima orang warga tempatan.