PUSA: Mereka yang tinggal di zon merah baik di Semenanjung Malaysia atau Sabah yang ingin pulang ke Sarawak, sebaik-baiknya ditangguhkan dahulu sehingga keadaan reda.

Penduduk Kampung Pusa Ramzi Rasit memberitahu, ini ekoran kebimbangan terhadap peningkatan kes import Covid-19 di negeri ini. “Bukan niat melarang atau campur tangan dalam masalah keluarga orang. ”

Tetapi lebih penting kita memikirkan isu keselamatan dan kerajaan wajar untuk tidak membenarkan mereka yang tinggal di zon merah baik di Semenanjung Malaysia atau Sabah pulang ke Sarawak ketika ini,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Jelasnya, banyak kes positif yang berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan mereka yang pulang dari kawasan berisiko.

Ditanya tentang kuarantin di rumah, Ramzi menyambut baik tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk tidak membenarkan mereka yang pulang ke Sarawak di kuarantin di rumah.

“Mereka yang pulang dari Semenanjung Malaysia atau Sabah mesti dikuarantin di tempat yang disediakan agar penularan Covid-19 dapat dikekang dengan berkesan.

“Kalau dikuarantin di rumah, mereka tetap terdedah dengan penghuni lain dan bergaul sesama mereka. “Malah keluarga yang lain masih bebas keluar ke pasar atau tempat awam,” ujarnya.

Tambah Ramzi, Sarawak mempunyai cukup dana untuk menyediakan pusat kuarantin, tidak kira sama ada menggunakan hotel, balai raya atau mana-mana tempat yang sesuai, asalkan bukan di rumah. Beliau mengingatkan setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing demi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 yang lebih serius.