KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu menjadi mata dan telinga kerajaan serta memainkan peranan memastikan negeri ini bebas Covid-19, kata Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki.

Ujarnya, dengan peningkatan jumlah positif Covid-19 di negara ini, pemimpin masyarakat dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab supaya lebih peka dengan wabak itu.

“Jika kita melihat individu atau komuniti yang tidak mengikut peraturan semasa berada di luar rumah, ketua masyarakat mempunyai tanggungjawab serta harus memainkan peranan menegur mereka.

“Ditambah kes pendatang haram tanpa izin (Pati) yang memasuki negeri ini melalui jalan tikus dan sebagainya, kita harus meningkatkan sikap berjaga-jaga.

‘Kita perlu sentiasa berwaspada kerana perkara sebegini mengundang bahaya kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Anjuran Penghulu dan Ketua Kaum Dun Satok, di sini malam semalam.

Beliau turut menjelaskan ketua masyarakat atau ketua kaum perlu menjaga kawasan masing-masing dan menjaga keamanan serta ketenteraman persekitaran dengan baik.

“Apa yang penting, struktur kepimpinan kita seperti ketua masyarakat dan ketua kaum harus menjadi contoh dan ikon kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Justeru, setiap ketua masyarakat yang dilantik mesti bersikap mesra dengan masyarakat setempat.

“Kini jumlah ketua kaum di negeri ini sekitar 6,000 orang dan ia angka yang besar,” katanya.

Ujar Ibrahim, sejak tahun lepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat keputusan dengan menambah baik sistem dan struktur pentadbiran dengan melantik lebih daripada 1,000 ketua kaum dan tuai rumah untuk masyarakat Melayu, Melanau, Iban, Cina dan sebagainya.

Beliau menjelaskan, Ketua Menteri berasa gembira lebih-lebih lagi dengan kawasan Satok kerana tidak terdapat masalah pada peringkat pengurusan pemimpin masyarakat.

“Mereka menjalankan kerja dengan cemerlang,” katanya.