KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hanya membenarkan pelajar akhir tahun yang berkeperluan secara fizikal, pelajar pascasiswazah (penyelidikan) dan pelajar berkeperluan yang berasal dari Sarawak sahaja untuk kembali ke kampus seawal bulan Mac ini berdasarkan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada penghujung tahun lalu.

Menurut Jawatankuasa Covid-19 UNIMAS keputusan yang dibuat hanya membenarkan pelajar tempatan dalam tiga kategori tersebut untuk kembali ke kampus.

“Pelajar dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan diwajibkan untuk menjalani proses kuarantin di Pusat Kuarantin Kerajaan Negeri serta menjalani ujian calitan RT-PCR.

“Semua kos perjalanan, kuarantin dan ujian calitan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pelajar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pelajar yang berhasrat untuk kembali ke kampus perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui entry ia.unimas.my.

Jelasnya, keputusan itu mengambil kira pelbagai aspek terutamanya kemudahan dan ruang penempatan pelajar berdasarkan Garis Panduan (SOP) kuarantin.

Unimas juga tidak berkompromi dalam usaha memastikan keselamatan warga kampus daripada jangkitan wabak Covid-19. Pelajar Unimas yang lain juga dimohon agar meneruskan pengajian secara dalam talian.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan pelajar pra-siswazah sila hubungi Bahagian Pengajian Pra-Siswazah di adminbpps@unimas my atau 082-581166 pada waktu pejabat bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Soalan berkaitan pengajian siswazah juga boleh diajukan kepada Pusat Pengajian Siswazah di ces general@unimas.my atau 082-581053.

Manakala pertanyaan berkenaan kolej kediaman boleh diajukan kepada Pusat Khidmat Pelajar di residensi@unimas my atau +6082-581823.