SIBU: Sebanyak 300 tan kayu balak disyaki hasil aktiviti pembalakan secara haram ditemui di kawasan Nanga Lupus, Kanowit, semalam.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata, aktiviti itu dikesan hasil serbuan dijalankan Unit Risikan Batalion 10 PGA Sibu sekitar jam 10.20 pagi.

“Hasil pemeriksaan di lokasi menjumpai pelbagai jenis kayu balak seberat 300 tan, tiga buah jengkaut jenama Hitachi dan Komatsu, sebuah generator dan sebuah mesin pam air.

“Kesemua barangan terbabit telah dirampas dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM556,990,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dua individu lelaki warga tempatan turut ditahan hasil serbuan sama dijalankan di lokasi kejadian.

Ujarnya, kesemua tangkapan dan rampasan Di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015 itu telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak wilayah Sibu untuk tindakan lanjut.

LUMAYAN… kayu-kayu balak pelbagai jenis ditemui di lokasi kejadian