KUCHING: Berikutan munculnya musim dabai yang memudahkan mendapatkan dabai dari Sibu, Unimas meminta orang awam tidak membuang biji dabai sesuka hati tetapi boleh mendermakan kepada universiti itu untuk kajian.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Makenikal Unimas Dr Lidyana Roslan (gambar) berkata, biji dabai boleh dijadikan sebagai penapis air di rumah bagi menggantikan batu.

“Penapis air daripada biji dabai lebih mesra alam dan lestari.

“Ini sedang kita usahakan agar penduduk rumah panjang boleh menggunakan inisiatif terbabit,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Menurut Lidyana, isi dabai kini mengalami revolusi apabila dijadikan ais krim dan sabun namun biji dabai sering dibuang walaupun biji dalamnya boleh dijadikan kacang seperti almond.

“Sekiranya orang awam tidak memerlukan biji dabai, ia boleh disumbangkan kepada Unimas sebagai ujian klinikal.

“Namun, kita amat menggalakkan penduduk rumah panjang mencuba biji dabai sebagai penapis di rumah,” jelasnya.

Katanya, biji dabai boleh bertahan selama setahun jika disimpan dengan cara betul.

“Kita boleh membuat karbon aktif di rumah kerana kajiannya di makmal amat berbeza dengan di rumah.

“Jangan buang biji dabai kerana ia bersifat lestari,” ujarnya.