KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melaksanakan percubaan logistik untuk memastikan vaksin Pfizer selamat tiba ke seluruh pelosok Sarawak sementara mengekalkan vaksin dalam keadaan suhu di bawah negatif 70 darjah celsius.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, vaksin tersebut sukar untuk diangkut kerana peti sejuk untuk menyimpan vaksin tersebut adalah terhad.

“Ia bukan perkara mudah kerana peti sejuk dengan suhu di bawah negatif 70 darjah celsius ini kebanyakannya hanya terdapat di pusat penyelidikan seperti Hospital Umum Sarawak (HUS), pusat penyelidikan di Sibu dan Miri, malah tidak semua hospital mempunyai peti sejuk ini.

“Sehubungan itu, terdapat percubaan untuk vaksin lain bagi melihat sama ada vaksin lain itu tidak memerlukan kemudahan seperti ini. Sebagai contoh, vaksin Moderna,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan surat tawaran Projek Rumah Mampu Milik di Kampung Bunga Rampai, Bau di sini, semalam.

Menurutnya, dalam percubaan untuk vaksin lain, beliau menjelaskan sebab HUS meminta 400 sukarelawan yang sihat untuk terlibat dalam percubaan klinikal itu. “Vaksin yang digunakan untuk tujuan percubaan klinikal dalam projek ini bukan Pfizer, tetapi vaksin baharu dari China.

“Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak akan melakukan segala yang mampu untuk membolehkan semua rakyat di negeri ini mendapat vaksin yang selamat untuk digunakan oleh setiap warganya,” jelas beliau.

Kui Hian menambah, tidak kira sama ada rakyat itu tinggal di hutan atau bandar, selagi masih bergelar rakyat Sarawak akan tetap dibantu. “JKNS telah melakukan percubaan logistik untuk memastikan vaksin dapat disimpan dalam suhu yang tepat sepanjang tempoh penghantaran ke kawasan di seluruh negeri.

“Kita mahu semua orang terutama mereka yang berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak ini mendapat vaksin yang sama,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan yang sama Kui Hian berkata, sekiranya terdapat rakyat Sarawak yang tercicir daripada bayaran untuk mendapat vaksin kerana tidak memenuhi kriteria oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak akan turut membantu mereka semampu yang mungkin.

“Selepas Kerajaan Persekutuan mendapat vaksin Covid-19 ini, Sarawak juga akan mendapatkan vaksin yang sama.

“Apabila Kerajaan Persekutuan memberitahu untuk tidak membayar vaksin untuk rakyat Sarawak yang tidak memenuhi kriteria, kami (Kerajaan Sarawak) akan membayar vaksin kepada mereka yang tercicir itu,” katanya.