KUCHING: Tebingan Bekenu dilihat berpotensi menjadi tarikan pengunjung luar di samping memberi pendapatan kepada masyarakat setempat.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata masyarakat Bekenu harus bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung dengan menyediakan pelbagai produk tempatan untuk dijual.

Menurut Rosey, kawasan berkenaan mempunyai banyak sumber bahan mentah untuk menghasilkan produk kraf tangan serta produk pertanian.

Beliau memberikan contoh, penghasilan kraf tangan merupakan bidang yang boleh diceburi oleh rakyat Bekenu dalam pembangunan ekonomi mereka.  “Ini memberi peluang yang sangat meluas kepada masyarakat kita untuk terlibat sama dalam pembangunan ekonomi.

“Di kawasan kita, tanah kita amat subur. Justeru kita dapat menghasilkan pelbagai produk pertanian dan produk kraf. Kita harus ambil peluang itu,” kata Rosey dalam satu temu bual di Bangunan Baitulmakmur, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Adun Bekenu berkata, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan, Sungai Sibuti juga boleh dijadikan kawasan aktiviti air dan menikmati pemandangan.

Tambahnya, aktiviti seperti regata dan menikmati pemandangan alam sekeliling dapat diadakan di situ.

Rosey turut memberitahu, beberapa projek pembangunan sedang rancak dilaksanakan di seperti pembinaan Tebingan Batu Niah yang dijangka siap penghujung tahun ini.

Selain itu, katanya, sebuah pasar juga dirancang untuk dibina di Batu Niah dan majlis pecah tanah untuk pasar tersebut akan disempurnakan oleh Ketua Menteri.

Sementara itu, Rosey berkata, sebuah jambatan dan laluan pejalan kaki akan dibina di Gua Niah untuk memudahkan pengunjung yang hadir melawat gua tersebut.

“Ini pembangunan yang sangat dinanti-nantikan kerana Gua Niah mempunyai nilai sejarah tersendiri dan kita hendak buka kepada masyarakat luar,” jelasnya