SERIAN: Seorang wanita warga Indonesia dikesan cuba memasuki Sarawak menerusi jalan tikus berhampiran ladang sawit Salcra Mongkos, di sini, semalam.

Suspek ditemui sekitar jam 1.15 tengah hari oleh pasukan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa ketika membuat rondaan kawalan di lokasi berkenaan.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha menerusi satu kenyataan mengesahkan suspek ketika diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Wanita terbabit telah diarahkan berpatah balik ke Indonesia menggunakan laluan yang sama,” katanya.

Ujarnya, tindakan itu diambil selaras Di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Imigresen 1959 (Akta 155) Seksyen 6(1).

Pada masa sama, Mancha turut mendedahkan Briged Sarawak menerusi Ops Benteng Covid mencatatkan kejayaan bernilai RM4,656.60 dengan tiga kes dan pengusiran seramai tiga orang (dua Pendatang asing tanpa izin) bermula 1 Januari hingga 7 Januari tahun ini.

Manakala Ops Libas katanya mencatat sejumlah RM3,606,203.64 dengan tiga kes melibatkan tangkapan tujuh orang (lima warga tempatan) dalam tempoh masa yang sama.