LUNDU: Kerajaan Sarawak akan mengagihkan sejumlah 1,110 tangki air kepada 25 kampung dalam kawasan Dun Opar untuk fasa pertama, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.

Menurutnya, pengagihan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan penduduk yang telah diluluskan permohonan.

“Pagi ini kita menyaksikan penyerahan tangki air kepada 111 penerima atau dari Kampung Bokah, Lundu yang diwakili oleh Ketua Kampung masing-masing.

“Sementara selebihnya akan dihantar oleh kontraktor secara terus kepada para penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penyerahan Tangki Air N.1 Opar di Dewan Serbaguna Kampung Bokah, Lundu hari ini.

Beliau mengingatkan penduduk kampung untuk menggunakan bantuan tangki air berkenaan dengan sebaiknya kerana ia sebagai alternatif kepada penduduk ketika berdepan dengan masalah bekalan air.

“Ia juga bertujuan meringankan beban rakyat semasa menghadapi isu bekalan air sebelum langkah penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

“Justeru, saya berharap penduduk di kampung-kampung lain juga akan memberi kerjasama kepada Pegawai Daerah dan Pusat Khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Opar supaya tangki ini dapat diserahkan kepada setiap pihak yang telah diluluskan,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk kampung yang memerlukan bantuan tangki air untuk segera membuat permohonan kepada ketua kampung atau pusat khidmat.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Daniel Bujal, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, Pengerusi SUPP Cawangan Opar Niponi Undek dan Ketua Kaum Kampung Bokah Sylvester Dize Mised.