SIBU: Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu memberitahu bahawa hospitalnya terpaksa mengurangkan penerimaan kes elektif iaitu bukan kecemasan, namun perkhidmatan kes bersifat kecemasan, semi-elektif masih beroperasi seperti biasa.

Ini katanya, berikutan peningkatan secara mendadak kes COVID-19 di hospital tersebut seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu hari ini.

“Kami terpaksa mengerahkan lebih ramai kakitangan hospital untuk mengurus kes pesakit Covid-19 pada masa ini.

“Diharap orang ramai memahami situasi Covid-19 yang sedang kita alami pada masa ini dan bersabar dengan sebarang penangguhan,” katanya sebentar tadi.

Rentetan itu, pihaknya sedang merancang untuk memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke Hospital Sarikei dan Hospital Kanowit.

“Bagi pesakit yang masih stabil, mereka hanya akan diberikan ubat dan diberi tarikh temu janji yang baharu,” ujar beliau.

Dr Nantakumar dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berkunjung ke hospital pada masa ini sekiranya tidak ada keperluan mendesak atau kecemasan.

Menurut beliau, pihaknya akan mengetatkan kemasukan pelawat dengan hanya membenarkan ahli keluarga yang memegang pas penjaga untuk berada di dalam wad bersama pesakit.

“Dengan serta-merta juga, kita memutuskan bahawa pelawat yang ada memegang pas pelawat turut tidak dibenarkan pada masa ini ke hospital untuk menjaga ahli keluarga mereka yang sakit di hospital sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Larangan ini adalah bagi mengelak wujudnya kluster baharu di kawasan hospital,” tegas beliau.