KUCHING: Kami amat memerlukan kerjasama daripada semua orang untuk membantu mengawal jangkitan Covid-19, tegas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing.

Ujarnya jika masyarakat lalai, sistem perkhidmatan kesihatan negeri ini akan terlalu terbeban seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia sekarang.

“Semestinya kita tidak mahu ia berlaku di Sarawak, malah jangkitan wabak ini telah banyak menjejaskan aktiviti seharian kita dan kesihatan orang yang tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Sarawak sekali lagi mengalami peningkatan bilangan kes Covid-19 dengan Kuching akan menjadi zon merah dalam masa terdekat.

“Sementara banyak daerah di negeri ini telah berubah menjadi zon kuning dan mungkin jingga atau merah jika kita tidak berusaha menghentikan penyebaran jangkitan.

“Kes-kes terkini menunjukkan bahawa Covid-19 telah merebak dalam komuniti dengan melibatkan mereka dalam kalangan usia semuda empat bulan hingga 86 tahun.

“Daerah-daerah seperti Sri Aman, Betong, Kapit dan Lawas yang sebelumnya bebas dari jangkitan kini mula terjejas,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, tidak keluar rumah tanpa urusan penting, membuat pesanan makanan bawa pulang, dan menangguhkan sebarang mesyuarat bersemuka yang tidak perlu atau melakukan perjalanan buat masa ini.