SERIAN: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di katil dengan kecederaan di bahagian dada di sebuah rumah di Taman Pasir, semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis mengesahkan kejadian berkata, mayat dijumpai susulan laporan polis dibuat anak lelaki mangsa sekitar jam 5.55 petang.

Katanya, hasil laporan awal yang diterima pihaknya mengatakan mangsa telah bertindak menembak dirinya sendiri menggunakan senapang patah di bahagian dada.

“Pihak Polis yang tiba di tempat kejadian menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring di katil dengan kesan kecederaan di bahagian dada.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan pergelutan terhadap badan mangsa.

“Turut ditemui, sekeping nota dipercayai ditulis oleh mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat terbabit telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).