KUCHING: Kepakaran menyempurnakan sepakan penalti menjadi garis pemisah buat pasukan Sakkok FC muncul juara selepas menewaskan pasukan SDG 3-2 pada aksi akhir Kejohanan Futsal Tertutup Batu Kawa di Gelanggang Futsal Kampung Sinar Budi, hari ini.

Terikat 1-1 pada masa sebenar memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti dan tuah ternyata berpihak kepada pasukan Sakkok FC yang berjaya membawa pulang sebuah piala dan pingat emas.

Manakala, Pasukan SDG hanya akur menduduki tempat kedua dengan membawa sebuah trofi beserta pingat perak.

Bagi pasukan Hawk Chill pula berjaya mendapat tempat ketiga dengan hadiah sebuah trofi dan pingat gangsa.

Sebanyak lapan pasukan dari sekitar kawasan Batu Kawa berentap merebut piala kemenangan.

Mohd royazlan binrohailan(baju merah kanan) Asrofhanapiah Ahmad (baju putih kiri)

Selain itu, dua pemain iaitu Mohd Royazlan Rohailan dan Asrofhanapiah Ahmad terpilih untuk diserap ke program pusat pembangunan di bawah program Perbadanan Sukan Sarawak.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Tan Kai berkata, program itu memberi manfaat kepada semua belia di kawasan Batu Kawa dalam mencungkil bakat baru mereka.

“Program seperti ini telah lama dirancang, namun disebabkan penularan wabak Covid semua kejohanan sukan ditangguhkan.

“Peningkatan kes virus berkenaan di negeri ini berkemungkinan bakal menyebabkan kejohanan yang dirancang untuk tahun 2021 terpaksa ditangguhkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Suara Sarawak dalam Kejohanan Futsal tertutup di Gelanggang Futsal Kampung Sinar Budi, hari ini.

Tambah beliau, aktiviti sukan seperti futsal juga dapat mengurangkan penglibatan belia dalam aktiviti yang tidak berfaedah.