KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan kes positif Covid-19 tertinggi dengan 55 kes berbanding 32 kes yang pernah dicatatkan pada 1 April tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, daerah Sibu menyumbang kes terbesar iaitu sebanyak 37 kes berpunca daripada Kluster Pasai, Sibu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,251 kes dan daripada jumlah tersebut, 15 kes dicatatkan di daerah Kuching, Miri (2) dan Bintulu satu kes.

“Bagi daerah Kuching, kes 1,199 dan 1,200 merupakan adik-beradik perempuan warga tempatan (Sarawak) yang baru balik dari Kunak, Sabah pada 31 Disember lalu.

“Kes telah menjalani arahan kuarantin wajib 10 hari dan diklasifikasikan sebagai Kes Import B yang telah mendapat jangkitan semasa masih berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambah Uggah, bagi kes 1,201 dan 1,202 adalah dua orang lelaki adik-beradik, warga tempatan (Sarawak) yang baru balik dari Pulau Pinang pada 7 Januari lalu.

“Setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kes telah menjalani saringan dan diberikan arahan kuarantin di pusat kuarantin.

“Kes-kes ini dikategorikan sebagai Kes Import B yang telah mendapat jangkitan semasa masih berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19,” katanya.

Ujar Uggah, bagi kes-kes yang mempunyai perkaitan dengan Kluster Stutong iaitu kes 1,203, 1,204, 1,205, 1,208, 1,210, 1,211 dan 1,212 merupakan tujuh individu yang telah menjalani saringan kendiri Covid-19 yang mempunyai sejarah berkunjung atau bekerja di lokasi yang telah diumumkan oleh JPBNS sebagai lokasi berisiko jangkitan Covid-19.

“Tujuh individu ini terdiri daripada dua lelaki dan lima perempuan dalam lingkungan 22 hingga 54 tahun. Kes-kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan,” ujarnya.

Bagi Kluster Keranji Tabuan, kes 1,198 merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan di sebuah hospital swasta kerana mempunyai kontak kepada kes 1,179.

Kes 1,206, 1207 dan 1,209 pula merupakan warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan kendiri COVID-19 kerana mempunyai tanda dan gejala.

Dalam pada itu, dua kes yang melibatkan daerah Miri pula adalah kes 1,214 yang merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang mempunyai kontak dengan kes 1,155, 1,156, 1,157 dan 1,165 yang telah dilaporkan sebelum ini.

“Miri turut mencatatkan kes Import B iaitu kes 1,213 yang merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia yang telah menjalani saringan bagi tujuan sign off dari atas kapal yang sedang berlabuh di luar perairan Miri,” katanya.

Uggah memberitahu bagi daerah Bintulu, kes 1,197 merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia yang telah datang ke Sarawak untuk bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Miri, Sarawak pada 31 Disember lalu.

“Kes ini dikategorikan sebagai Kes Import A yang telah mendapat jangkitan semasa masih berada negara asal,” katanya.