KUCHING: Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) akan berpandukan laporan dan situasi jangkitan Covid-19 di negeri ini, sebelum memutuskan untuk menangguhkan aktiviti termasuk sembahyang di gereja.

Pengerusi ACS Simon Poh berkata seperti situasi sebelum ini, pemimpin ACS bersedia menghentikan sementara sembahyang di semua gereja apabila keadaan bertambah buruk.

“Buat masa ini, kami memantau situasi, kalau Kuching menjadi zon merah, kami akan mengumumkannya (penangguhan kegiatan gereja).

“Adalah tanggungjawab sosial kita sebagai orang Kristian di Sarawak untuk memastikan keselamatan dan kebaikan bersama semua orang,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menurut Simon yang juga Uskup Agung Roman Katolik Kuching, beliau telah meminta orang Kristian untuk lebih berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Katanya ia memandangkan situasi jangkitan khususnya di Kuching dan Sibu semakin membimbangkan sekarang, yang boleh menjadikan kedua-dua daerah ini sebagai zon merah.

“Peningkatan jangkitan yang membimbangkan ini menunjukkan bahawa gelombang baru Covid-19 telah menular,” katanya.