KUCHING:  Terdapat 24 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,275.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata daripada jumlah itu, tujuh kes dikesan di Kuching, lima kes masing-masing di Miri dan Sibu, dua di Sri Aman dan satu kes masing-masing di Bintulu, Samarahan, Sebauh, Selangau dan Serian.

“Kes 1,253 dan 1,255 adalah dua orang warganegara tempatan dari Sarawak yang balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 8 Januari lalu.

“Kes 1,253 berasal dari Asajaya dan kes 1,254 berasal dari Betong ini diklasifikasikan sebagai kes import B,” kata JPBN dalam satu kenyataan media, hari ini.

JPBN menambah, empat kes jangkitan tempatan di Kuching iaitu kes ke-1,256, 1,259, 1,260 dan 1,261 merupakan individu warganegara tempatan dari Sarawak yang menjalani saringan kerana mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan sebelum ini.

“Kes 1,256 dan 1,260 mempunyai kaitan dengan Kluster Stutong dan kes 1,261 mempunyai kaitan Kluster Keranji Tabuan.

“Manakala, kes ke-1,255 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan dari Sarawak yang menjalani saringan kendiri kerana bimbang mempunyai kontak kepada mana-mana kes positif yang telah dilaporkan sebelum ini,” jelasnya.

Sementara itu, bagi lima kes positif di Sibu, tiga daripada  kes itu dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan iaitu kes ke-1,264, 1,265 dan 1,268.

“Mereka merupakan lelaki warganegara tempatan dari Sarawak yang menjalani saringan kerana mempunyai kontak dengan kes positif yang dilaporkan di dalam Kluster Pasai, Sibu dan berumur dalam lingkungan 10 hingga 53 tahun.

“Untuk dua kes positif yang dikesan melalui saringan pengesanan lain iaitu kes ke-1,267 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan dari Sarawak yang menjalani saringan di klinik kesihatan kerajaan di Sibu kerana mengalami gejala Covid-19 pada 8 Januari lalu dan didapati positif pada 9 Januari.

“Kes 1,269 pula merupakan seorang lelaki warganegara tempatan dar Sarawak yang menjalani saringan Covid-19 di hospital swasta di Sibu sebelum masuk bekerja,” ujar JPBN.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi lima kes di daerah Miri, tiga kes dikategorikan sebagai kes import B iaitu kes ke-1,270, 1,271 dan 1,275.

“Ketiga-tiga kes ini adalah tiga beranak yang juga merupakan warganegara tempatan dari Sarawak yang baru balik dari Selangor menggunakan penerbangan dari KLIA-2 ke Lapangan Terbang Miri pada 5 Januari.

“Bagi dua kes jangkitan tempatan di daerah Miri, kes ke-1,272 dan 1,273 adalah dua orang perempuan warganegara Sarawak yang dikesan dan menjalani saringan kerana mempunyai kontak rapat kepada kes 1,176 iaitu kes dalam Kluster Bah Sayap,” tambah JPBN.

Kata JPBN, dua kes di Sri Aman (kes ke-1,262 dan 1,263) adalah pasangan suami isteri dari Sarawak yang dikesan dan disaring kerana mempunyai kontak kepada kes 1,175 di Rh Langi, Pasai Siong Sibu pada 30 Disember 2020.

“Satu kes di Daerah Bintulu dikesan melalui saringan individu bergejala dan kes ke-1,257 ini merupakan seorang wanita warga Sarawak yang datang ke sebuah klinik kesihatan kerajaan di Bintulu kerana mengalami demam sejak 6 Januari.

“Selain itu, satu kes di Daerah Sebauh (kes 1,258) merupakan seorang suri rumah tangga warga tempatan (Sarawak) yang telah membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19 di sebuah klinik kesihatan kerajaan pada 8 Januari lalu kerana mengalami demam dan batuk sejak 4 Januari yang lalu,” kata JPBN lagi.

Kes ke-1,252 merupakan warganegara tempatan dari Sabah yang dikesan di Sabah masuk ke Sarawak untuk melapor diri atas arahan bertukar tempat kerja, manakala kes ke-1,266 yang dikesan di Selangau merupakan warga tempatan (Sarawak) yang membuat saringan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Sibu bagi tujuan melakukan perjalanan balik ke Lawas melalui Brunei bagi memulakan tugas.

JPBN memberitahu, satu kes di Serian (kes 1,274) yang turut diklasifikasikan sebagai kes jangkitan tempatan merupakan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) yang menjalani saringan Covid-19 di sebuah hospital swasta di Kuching pada 9 Januari kerana mempunyai kontak rapat kepada kes 1,211 dan 1,212 yang telah dilaporkan sebelum ini.