SIBU: Laporan berserta foto yang tular mendakwa penduduk Rumah Langi, satu daripada lapan rumah panjang di Pasai Siong yang dikenakan sekatan pergerakan, ditempatkan di pusat kuarantin di Dewan Suarah Sibu adalah berita palsu.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata setakat ini hanya penduduk yang positif dimasukkan ke Hospital Sibu, manakala yang lain dikuarantin di kediaman masing-masing.

“Setakat ini belum ada lagi yang ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menularkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes COVID-19 di media sosial kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Jumaat lepas, pihak berkuasa mengesahkan 37 daripada 74 penduduk rumah panjang itu positif COVID-19 susulan saringan yang dibuat selepas seorang wanita yang baru pulang dari Johor Bahru untuk menghadiri pengebumian mendiang ayahnya disahkan positif jangkitan tersebut.