SIBU: Penduduk di lapan buah rumah panjang di Pasai Siong termasuk Rumah Langi Ambau dinasihati supaya mematuhi perintah kawalan sekatan dari pihak berkuasa.

Saranan ini dibuat oleh Penghulu Richard Ampi yang bertanggungjawab bagi kawasan Pasai Siong ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, tujuan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 yang telah mewujudkan Kluster Pasai.

PENGHULU RICHARD AMPI…

“Jangan panik ikutlah arahan. Jangan keluar rumah, cuma dua minggu sahaja.

“Tiada apa yang dibimbangkan kerana makanan serta keperluan lain semuanya disediakan oleh kerajaan dalam bentuk bantuan kepada anda semua,” jelas beliau.

Rentetan itu, bagi memutuskan Kluster Pasai ini, kerjasama semua penduduk terlibat dan sekitarnya amat diperlukan.

Jelas beliau, ini masanya semua penduduk bekerjasama untuk membantu pasukan barisan hadapan menewaskan kluster tersebut.

Tegasnya, penguatkuasaan semata-mata tidak memadai tanpa sokongan daripada masyarakat.

“Simpang masuk ke Jalan Sungai Pelaie yang turut menempatkan rumah panjang saya pun turut disekat.

“Ia berikutan 37 kes baharu positif Covid-19 yang dikesan melalui Kluster Pasai. Saya menasihati penduduk rumah panjang bersabar dan patuhi arahan sekatan ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Tuai Rumah Sijah Enjut dari Pasai Siong memberitahu bahawa beliau turut mengeluarkan notis di laman sosialnya untuk memaklumkan sesiapa yang bukan penduduknya tidak dibenarkan berkunjung ke rumah panjangnya.

Beliau hari ini meminta orang ramai untuk tidak pergi ke rumah panjangnya mulai hari ini sehingga diberitahu kelak kerana penularan kes Covid-19 di daerah Sibu.

TUAI RUMAH SIJAH ENJUT…

“Saya turut menasihatkan penduduk saya untuk tidak keluar sama sekali untuk bergaul dengan penduduk rumah panjang yang lain,” katanya.

Beliau juga menggesa orang-orang rumah panjangnya untuk mengikuti SOP dan percaya bahawa mereka akan berjuang bersama untuk mengatasi masalah ini.

Sehubungan itu, difahamkan beberapa penduduk rumah panjang dari kawasan Pasai Siong Hilir, Pasai Siong Ulu dan Pasai Siong Tengah juga ada pergi ke pengebumian di Siong Tengah pada hari yang lain.

Kesemua rumah panjang dalam kawasan tersebut dikenakan perintah kawalan sekatan selama dua minggu bermula tengah malam Jumaat lalu.

JANGAN MASUK…Inilah Rumah Sijah Enjut yang turut dikenakan perintah kawalan sekatan.