SIBU: Susulan Sibu menjadi zon merah seperti yang diumumkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebentar tadi, perjalanan bot ekspres untuk sektor (laluan) Sibu-Sarikei-Tanjung Manis-Kuching dan sebaliknya dihentikan serta-merta bermula esok (Isnin).

Penolong Kontroler Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Wilayah II Sibu Hatta Morshidi berkata, bagaimanapun operasi bot ekspres tersebut sudahpun dihentikan hari ini (Ahad) berikutan Sibu menjadi zon jingga sebelum ini.

“Ini atas keputusan sendiri oleh pengusahanya yang tidak mahu meneruskan operasi mereka.

“Namun hari ini Sibu sudah bertukar menjadi zon merah ia mengukuhkan lagi keputusan mereka.

“Ini kerana pergerakan antara daerah ke zon merah tidak digalakkan walaupun LSS tidak mengeluarkan sebarang arahan berkenaan dengan perkara tersebut,” katanya semasa dihubungi, hari ini (Ahad).

Hatta berkata, ini adalah kali ketiga sektor tersebut terjejas atau menghentikan operasinya sebelum ini.

Pertama adalah pada 1-14 Ogos 2020, apabila JPBN tidak menggalakkan pergerakan antara daerah setelah peningkatan kes COVID-19 manakala pada 4-30 November lalu berikutan Kuching berada di zon merah.

Sementara itu, Hatta menjelaskan bahawa sektor Sibu-Song-Kapit dan sebaliknya kemungkinan akan menghentikan operasi mereka.

“Setakat ini belum ada arahan rasmi dari pihak berkenaan mengenai sektor tersebut.

“Namun LSS tidak menolak pengusahanya mungkin akan memutuskan keputusan untuk tidak meneruskan operasi mereka berikutan Sibu menjadi zon merah,” tambah Hatta.