UPACARA memindahkan monumen bersejarah bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan komuniti setempat, mempunyai pantang larang dan adat tertentu yang perlu dipatuhi dan dihormati.

Malah, ia hendaklah dilakukan oleh golongan pakar, atau lebih dikenali sebagai pawang dalam kalangan masyarakat setempat.

Mengalami peristiwa aneh dan luar biasa merupakan sebahagian daripada proses tersebut.

Ketua Kampung Sungai Ud Dalat, Morshidi @ Han Bakri, 67, yang juga Ketua Kumpulan Gadeng Teruna Desa Melanau yang terlibat dalam proses pemindahan Kelidieng dari Sekama ke Bangunan Kompleks Muzium Sarawak mengalami detik aneh yang cukup menyeramkan.

Kelidieng atau Jerunei merupakan tempat persemadian golongan aristokrat atau bangsawan kaum Melanau di Mukah, ratusan tahun yang lalu.

KETUA Kampung Sungai Ud Dalat, Morshidi
@ Han Bakri.

Ia dilakukan oleh kaum Melanau Pagan atau tidak beragama, yang mempunyai kepercayaan kuat terhadap animisme.

Namun ia tidak lagi diamalkan, sejak wujudnya keagamaan.

Kelidieng hanya diperbuat daripada kayu belian besar yang cukup matang, kerana ia tahan lama sehingga ratusan tahun walaupun terdedah di bawah matahari dan hujan setiap hari.

Batang belian tersebut dikorek dua atau tiga lubang. Lubang di bahagian bawah dan tengah untuk menempatkan mayat atau rangka si mati dan barangan bernilai sebagai bekalan alam lain.

Sementara, lubang di bahagian atas khas untuk hamba abdi atau orang-orang yang dipilih oleh si mati ketika masih hidup.

Menurut Morshidi, beliau bermimpi bertemu seorang gadis selepas selesainya proses pemindahan Kelidieng dari Sekama ke Bangunan Kompleks Muzium Sarawak.

“Gadis tersebut memberitahu saya bahawa dia berasa sangat malu, dan bertanya, di mana bajunya.

Wajahnya tidak kelihatan kerana dia membelakangi saya.

“Katanya “miak angai ako, gaanlah bajau ko, ako debei bajau” (saya berasa sangat malu, di manakah baju saya, saya tidak berbaju),” ujar Morshidi.

Sebaik sedar daripada mimpi tersebut, Morshidi memaklumkan perkara tersebut kepada pawang atau dukun.

PROSES membalut Kelidieng dengan kain kuning.

Pawang tersebut menjelaskan, ia menunjukkan Kelidieng yang dipindahkan perlu dibalut dengan kain kuning.

Menurut Morshidi, beliau meminta pihak Muzium Sarawak menutup Kelidieng tersebut dengan kain kuning. Ini kerana, sebelum ini, ia hanya ditutup dengan karpet.

“Kelidieng mempunyai semangat wanita, berbangsa Melanau, dan dia berasa malu kerana tidak ditutup dengan baik.

“Malah selepas saya mendapat mimpi itu perasaan takut sentiasa menyelubungi saya setiap kali hendak tidur,” katanya.

“Menurut pawang, Kelidieng tersebut mempunyai wajah dan sepanjang proses pemindahan, bahagian wajah ditutup dengan kain putih, namun setelah selesai dipindahkan, bahagian badan tidak ditutup,” kongsinya lagi.

KUMPULAN Gadeng Teruna Desa Melanau

“Saya mengetuai kumpulan pemuzik gadeng dalam upacara memindahkan Kelidieng ini.

Ia perlu dilakukan dengan penuh adat dan tatasusila, dan mesti diketuai oleh pawang.

“Ketika kami bermain sepanjang membawa Kelidieng, saya dapat lihat ia hidup semula seperti gembira, sehinggalah suatu ketika kami berhenti memainkan alat muzik, Kelidieng bergerak-gerak ke kiri dan kanan secara perlahan-lahan, seolah-olah menari,” kata Morshidi lagi.

“Semua kami di dalam lori berkenaan hairan, kami diam dan hanya terus memainkan alat muzik masing-masing tanpa henti, sehinggalah proses pemindahan selesai.

“Ini bermakna ia hidup semula kerana adat Kelidieng ini adalah dihidupkan kembali, malah ia juga mesti didirikan semula agar lebih teguh,” kata Morshidi.

Beliau berharap agar upacara mendirikan Kelidieng di Kompleks Muzium Sarawak dapat dijalankan dengan penuh adat.