MANA-MANA kelab di negeri ini yang mahu menyertai Liga M3 anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mempunyai dana sekurang-kurangnya RM2 juta.

Pada masa yang sama mereka hendaklah mendapat kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terlebih dahulu.

Demikian pengakuan Presiden FAS, Datuk Posa Majais kepada arena Suara Sarawak semalam.

“Ia merupakan syarat wajib yang ditetapkan oleh FAM seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tanpa kelulusan daripada FAS, maka pendaftaran sesebuah pasukan tidak akan diterima,” ujar Posa.

Bagaimanapun, katanya, tiada masalah bagi FAS untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Kita tiada kekangan dalam hal ini, sudah pasti kami akan membantu membuat kelulusan. Namun kelab tersebut hendaklah mempunyai sumber kewangan mencukupi, sekurang-kurangnya RM2 juta,” katanya.

Menurutnya, pasukan dari Sarawak dan Sabah memerlukan kos yang tinggi, kerana kebanyakan aksi berlangsung di Semenanjung.

Sejak empat musim kebelakangan ini, dua wakil dari Sarawak menyertai Liga Malaysia, iaitu pasukan utama Sarawak dan Kuching FA.

Kuching FA mula menyertai Piala FAM pada 2017 hingga 2019, namun pada 2019 ia dijenamakan sebagai Liga M3.

Kuching FA layak ke Liga Premier 2020 setelah muncul naib juara Liga M3 2019, dan mengalahkan pasukan utama Sarawak 3-1 dalam aksi “play-off”.

Musim ini, Kuching FA dijenamakan semula sebagai Kuching City FC (KCFC), manakala pasukan utama Sarawak tampil dengan Sarawak United FC (SUFC).

Yang pasti, bendera Sarawak akan dikibar dua pasukan iaitu KCFC dan SUFC. Menurut pemerhati, ada kemungkinan kelab dari Miri atau Bintulu akan menyertai Liga Malaysia pada masa akan datang.