KUCHING: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu banyak memberi kesan tersendiri dalam kehidupan setiap individu.

Ini jelas apabila ramai masyarakat mengambil iktibar dan aura positif daripada peristiwa yang berlaku untuk menjana pendapatan.

Perkara ini dirasai oleh Nurul Afina, 23, apabila menjadikan tempoh sukar yang dilalui sepanjang PKP lalu, sebagai batu loncatan untuk memulakan perniagaan sushi.

“Saya sangat meminati sushi dan ia menyuntik semangat saya untuk menjadi peniaga sushi kecil-kecilan di Tanjong Lobang, Miri.

“Bermula pada November tahun lalu, saya mengambil tempahan secara atas talian daripada pelanggan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Menurutnya, usaha ini juga adalah untuk memenuhi permintaan penggemar makanan ini dengan harga mampu dimiliki.

Dia turut menjelaskan, perniagaan yang bermula dengan modal RM500 itu berjaya mendapat sambutan ramai pelanggan.

“Saya beroperasi setiap 4 petang hingga 10 malam di Taman Tanjong Lobang, Miri.

“Buat masa ini, saya hanya bergantung kepada operasi gerai di sini, dan sekiranya mendapat rezeki lebih saya berhasrat mengembangkan cawangan gerai ini,” katanya lagi.

Afina juga menambah, sokongan padu daripada keluarga dan suami menjadi pembakar semangat bagi dirinya bergerak terus maju dalam perniagaan yang diusahakannya itu.

Katanya, perniagaan yang sebelum ini hanya dilakukan di rumah kini mendapat tapak strategik atas ihsan bapa mentuanya.

“Meskipun menjual sushi dengan harga serendah RM1 satu, namun saya tetap mendapat pulangan lumayan apabila berjaya memperoleh 50 hingga 60 peratus keuntungan hasil jualan harian.

“Harapan saya mengembangkan lagi perniagaan kepada jualan pelbagai jenis sushi pada masa akan datang,” jelasnya.

Afina turut berharap agar semua pelanggan sentiasa berpuas hati dengan hidangan sushi yang disediakan.

Bagi penggemar sushi di Miri, mereka digalakkan mengunjungi gerai Sushi Myy di Tanjong Lobang Miri atau layari Home Made Sushi Miri Halal di Instagram.