KUCHING: Masyarakat di negeri ini tidak perlu membuat pembelian panik, disebabkan dipengaruhi isu tidak sahih yang tular di media sosial mengenai kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguan (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata di Sarawak, barangan keperluan asas adalah mencukupi dan tiada keperluan untuk masyarakat membuat pembelian panik.

“KPDNHEP Sarawak dan cawangan telah diarahkan untuk membuat hebahan kepada orang ramai agar tidak panik dengan isu tidak sahih seperti mana ditularkan di media sosial dan medium tidak benar,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan yang dibuat oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarawak, buat masa ini tiada pembelian panik berlaku di Sarawak disebabkan oleh isu tersebut.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarawak menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas barangan keperluan asas.

Namun, beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang pembelian panik oleh orang ramai.

“Setakat ini, tiada pembelian panik berlaku dan keadaan di kawasan tumpuan orang ramai adalah terkawal.

“Saya berharap orang ramai tidak membuat pembelian panik kerana bekalan keperluan asas adalah mencukupi,” katanya.

Sementara, Stanley memberitahu, KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 1,149 premis perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar sejak 1 Januari yang lalu.

Tambahnya, pemeriksaan juga telah menghasilkan sembilan kes dengan nilai rampasan sebanyak lebih RM656 dan jumlah kompaun sebanyak RM600.