KUCHING: Kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat dengan drastik hari ini, apabila merekodkan 153 kes.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Daerah Miri menjadi penyumbang kes terbesar iaitu sebanyak 94 kes, diikuti Sibu (25), Dalat (17), Kuching (13), Sri Aman (2), Selangau (1) dan Beluru (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,428 kes,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan harian Covid-19 di Sarawak, di Bangunan Dun lama di sini hari ini.

Uggah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata bagi kes positif di Miri, 23 jangkitan dikesan daripada Kluster Bah Sayap, empat jangkitan daripada Kluster Stutong dan tiga jangkitan daripada Kluster Jelita (Kluster Baharu).

Selain itu, katanya adalah daripada dua saringan individu pulang dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19, 60 lain-lain saringan (masih dalam siasatan) dan dua jangkitan daripada Kluster Pasai.

Manakala di Sibu, beliau berkata 20 jangkitan dikesan daripada Kluster Pasai, dua daripada saringan individu bergejala, satu saringan kontak rapat dan dua saringan individu pulang dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19.

Di Kuching, Uggah berkata dua jangkitan dikesan daripada Kluster Stutong, lapan daripada saringan individu pulang dari kawasan berisiko tinggi
jangkitan Covid-19 dan tiga daripada saringan individu bergejala.

Sementara, katanya di Dalat, 17 jangkitan dikesan daripada Kluster Pasai dan di Sri Aman, satu jangkitan daripada Kluster Pasai dan satu jangkitan daripada saringan kontak rapat.

Di Beluru, beliau berkata kes dikesan daripada saringan individu bergejala manakala kes di Selangau dikesan daripada individu pulang dari luar negara.