KUCHING: Ingatan rakyat Sarawak terhadap figura pemimpin yang dikasihi rakyat, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem masih menebal walaupun telah empat tahun meninggal dunia.

Isteri Mantan Ketua Menteri itu, Datuk Amar Jamilah Anu menzahirkan rasa terharu atas ingatan dan doa rakyat negeri ini terhadap suaminya.

“Saya lihat di media sosial (facebook dan instagram) rakyat masih mengingati beliau sebagai seorang pejuang…malah menganggap Almarhum sebagai ‘legend’,” katanya.

Jamilah yang juga Adun N3 Tanjong Datu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Samariang selepas menziarahi pusara Tok Nan petang tadi.

Rasa terharu Jamilah turut disulami rasa bangga berikutan kebanyakan agenda dan perancangan Tok Nan untuk rakyat Sarawak telah diusahakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Dalam empat tahun ini kita melihat agenda dan kemahuan beliau (Tok Nan) semasa menjadi Ketua Menteri telah pun dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Menyebut perjuangan menuntut hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diilhamkan oleh Tok Nan sebelum ini telah diteruskan oleh Abang Johari, Jamilah menarik nafas lega apabila progress kerajaan dalam menuntut hak-hak Sarawak kini ke arah positif.