KUCHING: Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berwajib agar tidak membenarkan kuarantin Covid-19 di rumah panjang biar pun di dalam bilik masing-masing.

Katanya ia kerana potensi penularan wabak tersebut masih ada apabila ia tidak dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang dari luar Sarawak, baik anak jati Sarawak sendiri atau sebaliknya harus dikuarantin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mawan menegaskan KKM dan pihak berwajib juga harus tegas dalam perkara ini dan menubuhkan lebih banyak pusat-pusat kuarantin pada masa sekarang.

“Kluster Rumah Panjang apabila ia mula merebak agak sukar untuk dikawal kerana penduduk luar bandar mempunyai corak pergerakan yang luas serta unik yang mesti difahami.

“Kita perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguat kuasa undang-undang untuk memastikan norma baru diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini.

“Setiap individu harus ada ketegasan dan kesedaran yang tinggi dalam kawalan kendiri dengan mempraktikkan kebiasaan amalan baru ini,” katanya.

Beliau menambah setiap orang harus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan perlu sentiasa berwaspada untuk mengelak wujudnya kluster baharu yang boleh menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19.

“Rakyat Sarawak tanpa mengira pangkat dan bangsa tidak boleh leka sebaliknya terus berdisiplin, mematuhi semua norma baharu dan SOP ditetapkan KKM,” katanya.