PUSA: Lebih 100 biji kuih bahulu yang belum dibuka bungkusannya dilarikan oleh seekor kera liar di sini, pagi semalam.

Seorang suri rumah yang menggambarkan kejadian tersebut memberitahu, bungkusan bahulu tersebut diletakkan di atas meja makan sementara dia membancuh teh untuk sarapan pagi.

“Ia langsung belum dibuka dan saya tidak menyangka ahli kumpulan ‘gangster kampung’ itu yang membedal kuih bahulu tersebut lebih awal,” katanya berseloroh.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang leka membancuh teh dan sebaik berpaling ke arah meja didapati seekor kera liar sudah menyambar bungkusan tersebut sambil melarikannya ke bahagian bumbung.

“Saya hanya mampu melihat, binatang tersebut semakin berani lebih-lebih kera dewasa.

“Anak saya yang kebetulan berada di beranda hadapan sempat merakam beberapa gambar dan salah satunya ketika kera tersebut sedang menikmati kuih bahulu… rezeki mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, kera liar di sini semakin berani dan bahaya, malah sering masuk ke kampung secara berkumpulan.

“Sebab itu, penduduk yang mendiami kawasan di sebelah darat lazimnya sentiasa menutup pintu dan tingkap jika mereka tiada di luar.

Jika tidak, ia akan masuk dan mencuri apa-apa jua makanan yang ada.

“Buah-buahan yang ditanam juga selalu diganggu oleh kera tersebut.

“Maka, tidak hairanlah kera-kera tersebut dipanggil gangster kampung oleh warga tempatan,” tambahnya.

Difahamkan juga, terdapat beberapa kes serangan kera sehingga menyebabkan kecederaan di Kampung Pusa.