MUKAH: Klinik Komuniti Mukah di sini kini ditutup sementara bermula 9 Januari lalu, dipercayai berkaitan dengan kes Covid-19.

Tinjauan turut mendapati terdapat notis diletakkan di pintu klinik berkenaan, yang memaklumkan ia dibuat atas akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Malah, sekitar lokasi klinik berkenaan turut didapati ditutup dengan tanda amaran agar tiada sesiapa melalui kawasan berkenaan.

Bahkan, beberapa kedai makan dan premis perniagaan juga mula menutup operasi setelah tularnya mengenai penularan Covid-19 di daerah ini di media sosial.

Bagaimanapun, tiada pembelian panik berlaku oleh masyarakat di sini.

Difahamkan, sepasang suami isteri telah dijangkiti Covid-19 selepas menziarahi upacara kematian di Pasai Siong Sibu minggu lalu.

Pasangan tersebut juga dikatakan telah melakukan pemeriksaan di Klinik Komuniti Mukah pada 7 Januari lalu.

Mereka juga didapati pernah pergi ke beberapa tempat di sekitar pekan Mukah iaitu Medan Mall, Everwin dan beberapa kawasan lain yang belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Suara Sarawak untuk pengesahan, tiada lagi kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Residen Mukah yang juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah.