SIBU: Berita yang amat menyedihkan serta menakutkan apabila Kluster Pasai terus ‘mengganas’ hari ini selepas ujian saringan dilakukan.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi MPS Kaunselor Clarence Ting Ing Horh dalam ciapan di laman sosialnya sebentar tadi.

“Saya sedang mengawasi wabak Covid-19 di Daerah Sibu dan menghubungi Jabatan Kesihatan mengenai keadaan terkini.

“Terdapat lebih banyak positif hari ini dari Kluster Pasai yang disahkan pagi ini.

“Setelah mendengar berita ini, saya menghubungi Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu dan berita yang diterima adalah buruk,” kata beliau.

Ting memberitahu keadaan di Sibu akan bertambah buruk dan dijangkakan wabak itu akan jauh lebih tinggi pada minggu ini.

“Ini bermaksud bahawa virus itu ada di mana-mana sahaja sekarang. Saya menasihati semua orang di Sibu untuk berhati-hati dan mematuhi SOP dengan tegas.

“Justeru itu, MPS membatalkan semua perjumpaan, pejabat juga dilarang dikunjungi orang ramai dan kenyataan akan dikeluarkan hari ini sehubungan dengan ini mengenai penggunaan pasar, taman, perpustakaan dan kolam renang.

“Kita tidak pernah mengalami wabak buruk sejak awal PKP lalu, saya menggesa semua orang untuk mematuhi SOP yang ketat, memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan mencuci tangan,” tambah beliau.