SIBU: Lengang, seolah-olah bukan musim buah. Biasanya pada hujung tahun sehingga ketibaan Tahun Baharu Cina, bandar Sibu akan sibuk kerana musim buah dabai dan duriannya.

Namun selepas bertukar status ke zon merah jangkitan Covid-19 yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) semalam, keadaan bandar hari ini lengang.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati tidak ramai yang keluar ke bandardan rata-rata jalan utamanya sedikit sunyi.

Tidak seperti sebelumnya, bandar Sibu tidak lari dari kesunyian, kesibukan dan penuh dengan kunjungan orang ramai.

Kawasan yang paling sibuk ialah di jalan Pasar Sentral Sibu, Jalan Central, Jalan Kong Peng Loong, Jalan Wong Nai Siong dan Jalan Lanang.

Namun pada hari ini, kenderaan dilihat amat kurang dan seolah-olah seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

Kedai-kedai kopi kurang dikunjungi orang ramai namun masih meneruskan operasi perniagaan mereka.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika dihubungi sebentar tadi mengulangi ingatannya supaya warga Sib berada di rumah dan tidak perlu keluar rumah jika tiada perkara mustahak.

“Kalau hendak keluar rumah, ujarnya pakailah pelitup muka dan patuhlah prosedur operasi standard (SOP).

“Saya sedia maklum bahawa keadaan bandar Sibu terus berubah pagi ini.

“Ini asatu perkembangan yang baik kerana menunjukkan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat kita di sini.

“Diharap orang ramai di sini terus kekal selamat dan berada di rumah,” kata beliau.

Ting turut mengingatkan orang ramai bahawa virus Kluster Pasai sudah ada di mana-mana sekarang.

Beliau turut melahirkan kebimbangannya mengenai perkara tersebut dan menyarankan agar warga Sibu menggandakan sikap berwaspada.