KUCHING: Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini,” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan PKP, hari ini.

Bagi aktiviti keagamaan, beliau hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

Manakala bagi negeri yang dikenakan PKP-P dan PKP-B, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, orang ramai dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja.

“Kalau hendak berjoging, jangan lebih daripada dua orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja,” katanya.