KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas sebanyak 17,100 karton rokok dipercayai diseludup, hasil serbuan ke atas sebuah rumah berhampiran Taman Shun Lee, Siburan, di sini, hari ini.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata serbuan dijalankan oleh Unit Risik PGA Briged Sarawak sekitar jam 12 malam tadi.

“Pelbagai jenis rokok tersebut ditemui disimpan di dalam rumah berkenaan.

“Turut dirampas sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk menghantar rokok seludup ke pasaran tempatan.

“Kesemua hasil barang rampasan dianggarkan bernilai RM2,645,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat Di bawah Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967.

BANYAK… Sebanyak 17,100 karton rokok pelbagai jenis yang dirampas hasil serbuan di kediaman terbabit