KUCHING: Sarawak diletakkan bersama Perlis di bawah Perintah Kawalan Pergerakan – Pemulihan (PKP-P), dalam langkah kerajaan mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan,” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan PKP, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata kerajaan telah memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala, beliau berkata PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sementara, katanya PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi Perlis dan Sarawak.

Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah, Muhyiddin berkata operasi sekatan jalan raya (SJR) akan berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam Rabu, 13 Januari.

“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

“Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata bagi kawasan PKP-P, kedai makan dan gerai penjaja adalah dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan penghantaran makanan juga dibenarkan beroperasi.