SIBU: Lebih ramai lagi pemilik hotel di sini digesa supaya membuka premis mereka sebagai tempat kuarantin.

Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew berkata, susulan peningkatan kes Covid-19 di sini khidmat mereka diperlukan bagi membantu kerajaan.

Menurutnya, Kluster Pasai berpunca dari masalah tempat kuarantin yang sangat terhad di Sibu hingga membolehkan perebak utamanya itu dibenarkan kuarantin di rumah.

“Pandangan saya mengenai isu ini adalah menggesa lebih banyak pengusaha hotel di Sibu untuk membuka pusat kuarantin.

“Namun kita tidak terus menyalahkan sesiapa mengenai hal ini kerana boleh dianggap sebagai di luar jangkaan kita,” tegas beliau.

Lau menjelaskan bahawa banyak rakyat Sarawak dari Semenanjung Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Sibu diberi kuarantin rumah selama 14 hari dan bukannya di pusat kuarantin (hotel) mulai awal Disember 2020.

“Saya mempunyai beberapa kebimbangan sebelum ini mengenai perkara tersebut yang dibaratkan seperti bom menunggu masa untuk meletup.

“Pada masa itu, hanya ada satu hotel di Sibu yang bersedia menjadi pusat kuarantin iaitu Premier Hotel dengan sekitar 180 bilik.

“Pilihan yang tinggal adalah sama ada melaksanakan kuarantin di rumah atau membatalkan semua perjalanan antara Sibu dengan dunia luar (terdapat penerbangan terhad dari Johor, KL dan KK pada masa itu),” jelas beliau.

Dengan memutuskan penerangan untuk semua sektor juga, Sibu akan terpinggir di mana barang dan perkhidmatan penting masih diperlukan seperti ubat-ubatan, pegawai kesihatan, juruteknik yang perlu masuk dari Semenanjung Malaysia, tegasnya.

Kemudian, ujarnya ada kes orang yang perlu pulang kerana hal-hal kecemasan seperti masalah keluarga.

“Pada pandangan saya, dua faktor utama menyumbang kepada wabak terbaharu ini (Kluster Pasai).

“Pertama, di peringkat komuniti perniagaan dan yang kedua di peringkat individu,” kata Lau.

Mengulas lanjut, Lau memberitahu pertamanya, pengusaha hotel di Sibu perlu menawarkan bilik mereka untuk pusat kuarantin.

“Sekiranya pengusaha hotel di Sibu terus membuka bilik mereka untuk menyokong usaha kerajaan memerangi COVID-19 pada masa-masa sukar seperti itu, ia akan dapat memantau wabak ini dengan ketat.

“Memandangkan kerajaan negeri menanggung semua bayaran bilik dan makan kepada mereka yang dikuarantin,” tegas Lau lagi.

Katanya, banyak hotel menghadapi kemerosotan ekonomi.

Namun, begitu ujarnya, apabila peluang perniagaan muncul dan pada masa yang sama ia dapat membantu Sibu, tetapi banyak pengusaha hotel menolak peluang tersebut.

“Sebilangan besar pengusaha hotel di bandar lain di Sarawak bekerjasama.

“Malah Limbang mempunyai lebih banyak hotel yang ditawarkan daripada Sibu sebagai pusat kuarantin.

“Saya berharap para pemimpin Sibu dan pelbagai badan yang mewakili komuniti perniagaan akan tampil untuk membantu kerajaan dan bahkan menasihati anggota hotel mereka untuk menolong ketika kerajaan memerlukan.

“Terdapat tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak bersedia membayar bilik hotel. Ini tidak benar. Kerajaan Sarawak membelanjakan berjuta-juta dan terus membelanjakan untuk rakyat Sarawak yang kembali ke Sarawak.

“Sebenarnya, di KL dan kebanyakan negara lain, pelancong harus membayar bilik mereka sendiri dalam tempoh kuarantin,” jelas Lau.

Sementara itu, faktor kedua peningkatan COVID-19 di Sibu katanya adalah ketidakpatuhan perintah kuarantin untuk tinggal di rumah dan kegagalan untuk mengikuti SOP (memakai pelitup muka, jarak fizikal dan mencuci tangan secara teratur).

“Ini adalah penyumbang terakhir kepada wabak terbaharu ini,” tambah beliau.