SIBU: Sebanyak 80 unit khemah khas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) siap dipasang di Stadium Tertutup Sibu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai persediaan awal untuk dijadikan pusat kuarantin tambahan bagi pesakit COVID-19.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata pembukaan pusat kuarantin itu adalah sebagai persediaan sekiranya pusat kuarantin di Kemuyang tidak dapat menampung jumlah pesakit.

“Pusat kuarantin ini belum diguna lagi, ini hanya sebagai persediaan awal jika keadaan terdesak dan seboleh-bolehnya kita tidak akan mengunakannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata pusat kuarantin berkenaan adalah sebagai tambahan sekiranya diperlukan saja.

Daerah Sibu menjadi zon merah COVID-19 hari ini selepas 44 kes dicatatkan sejak dua hari lepas, bermula dengan 37 kes dilaporkan di bawah Kluster Pasai.